Thursday, May 14, 2009

Buat Sahabatku...

Satu nasihat dan peringatan,

Buat sahabatku sekalian.


Sahabatku,

Andaikata suatu hari nanti,

Kau merasa kecewa,

Sedih dan hampa,

Dan perasaanmu terluka,

Janganlah merasa kosong di hati,

Jangan pula kau cepat membenci,

Geram hingga mencaci maki,

Ingatlah Allah sentiasa menemani,

Setiap waktu dalam kehidupan kita ini.

Janganlah bersedih hati,

Kerana Allah selalu ada di sisi.


“Jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”.

(Surah At-Taubah 9:40)


Sahabatku,

Hati yang dimiliki,

Adalah seperti suatu nadi,

Yang berdenyut setiap hari,

Mengarah setiap perbuatan kita ini,

Ingatlah kata-kata Nabi Junjungan yang dikasihi:

Sahabatku,

Andaikata suatu hari nanti,

Dirimu tersungkur,

Jangan cepat engkau akur,

Jangan cepat mengaku kalah,

Tetapi, bangunlah,

Dan teruskan langkah,

Ingatlah firman Allah:


“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati,

Sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman”.

(Surah Ali Imran 3:139)


Sahabatku,

Andaikata suatu hari nanti,

Seseorang menyakiti hatimu,

Sehingga parah,

Jangan cepat kau marah,

Tapi banyakkanlah bersabar,

Kerana Allah menyukai insan yang penyabar.


“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar”.

(Surah Al-Baqarah 2:153)


Sahabatku,

Andaikata suatu hari nanti,

Engkau jatuh sakit,

Jangan cepat mengadu kerana

Merasa perit,

Tapi bersabarlah dengan ujian itu,

Sungguh, ia hanya untuk menguji dirimu,

Kerana Allah sentiasa menguji,

Orang-orang yang Dia sayangi.


“Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diguncang (dengan berbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata “Kapankah datang pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat”.

(Surah Al-Baqarah 2:214)


Sahabatku,

Andaikata suatu hari nanti,

Kau putus cinta,

Jangan marah kepada-Nya,

Atas apa yang berlaku pada dirimu,

Ingatlah bahawa semua itu berlaku,

Kerana Dia menyayangimu,

Inginkan dirimu dipenuhi kebaikan,

Hidup dalam kehidupan,

Yang penuh keredhaan,

Jauh dari maksiat dan dosa,

Jauh dari segala fitnah dunia,

Terpelihara,

Dari segala kemungkaran yang ada.


“Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”.

(Surah An-Nahl 16:96)


Sahabatku,

Andaikata suatu hari nanti,

Perasaan hatimu menyuruh diri,

Menyakiti orang sesuka hati,

Dek kerana rasa benci,

Janganlah kau lakukan,

Janganlah menambah keperitan,

Pada hatimu yang kekeringan,

Nur atau cahaya iman.


Daripada Abu Hamzah bin Malik r.a. :

Rasulullah saw bersabda:

“Tidak sempurna iman salah seorang daripada kamu sehingga kasih ia kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri”.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Sahabatku,

Jangan engkau menuruti kata hati,

Jika kemungkaran yang disuruh buat,

Ingatlah malaikat yang ada di sisi,

Mencatit setiap amalan yang dibuat.


“Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat)”.

(Surah Al-Qaf 50:18)


Ingatlah bahawa setiap kemungkaran dan dosa,

Yang dilakukan oleh kita,

Aka nada balasan yang setimpal dengannya,

Sebagaimana firman-Nya:


“Barangsiapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barangsiapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri. Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya”.

(Surah Al-Fussilat 41:46)


Sahabatku,

Andaikata suatu hari nanti,

Kau merasa sepi,

Tiada siapa yang menemani,

Atau menasihati,

Tiada siapa yang membimbing diri,

Dan kau rasa hidupmu tiada erti,

Berjalan keseorangan,

Dalam kehidupan,

Yang kau rasakan penuh cabaran,

Sangat payah dan susah segala ujian,

Maka selalulah kau jadikan diri,

Sentiasa mengingati Ilahi,

Banyakkanlah bersabar,

Ujian selalunya mengajar,

Erti ketabahan,

Dalam kehidupan.


“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.

(Surah Al-Baqarah 2:155)


Banyakkanlah berdoa,

Mohon pada-Nya,

Hanya Dia yang dapat menghilangkan,

Segala kepayahan.


“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran”.

(Surah Al-Baqarah 2:186)


Sahabatku yang disayangi,

Jangan lupa untuk muhasabah diri,

Jangan lupa untuk mengingati mati,

Agar kau akan sentiasa sedar,

Dimana kedudukanmu yang sebenar,

Agar kau tak leka,

Dan tak taksub dengan segala,

Perhiasan dunia.


“Sesunggunhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya”.

(Surah Al-Kahf 18:7)


Sahabatku,

Jika petunjuk didepan mata,

Jangan engkau menjadi buta.


“ Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang didalam dada”.

(Surah Al-Hajj 22:46)


Sahabatku,

Janganlah kerana terlalu asyik dengan,

Kesenangan dan perhiasan dunia,

Hingga kau lupakan Pencipta.


“Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia, niscaya dia berpaling dan menjauhkan diri dengan sombong; dan apabila dia ditimpa kesusahan, niscaya dia berputus asa”.

(Surah Al-Isra’ 17:83)


Sahabatku,

Andaikata suatu hari nanti,

Hidayah datang mengetuk pintu hati,

Jangan engaku menolaknya,

Ingatlah firman-Nya:


“Ini (Al-Quran) adalah petunjuk. Dan orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Tuhannya, mereka akan mendapat azab berupa siksaan yang sangat pedih”.

(Surah Al-Jasiyah 45:11)


Sahabatku,

Nasihatku yang terakhir buatmu,

Adalah supaya engkau sentiasa mengingati,

Sentiasa menyedari,

Andaikata kau semakin jauh dari-Nya,

Maka ingatlah kembali siapa Pencipta.


“dan (aku telah diperintah), “Hadapkanlah wajahmu kepada agama dengan tulus dan ikhlas dan jangan sekali-kali engkau termasuk orang yang musyrik”.

(Surah Yunus 10:105)


Ingatlah wahai sahabatku,

Siapa Yang Maha Berkuasa,

Sungguh, hanya Dia,

Yang dapat menyembuhkan penyakit yang ada,

Dalam hati dan dada.


“Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu pelajaran (Al-Quran) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman”.

(Surah Yunus 10:57)


Sahabatku,

Renungkanlah segala nasihatku,

Semoga engkau akan diberi petunjuk oleh-Nya,

Semoga senantiasa,

Dan selalu hidup dalam keredhaan-Nya,

Semoga dilimpahkan dengan rahmat dari-Nya,

Insya Allah,

Ukhuwwah fillah abadan abada,

Jazakallahu khoiran qasira.

No comments:

Post a Comment