Thursday, October 28, 2010

Jiwa dan cintaku...

Sahabatku,

Ketahuilah,
Pernah dulu ku sarangkan cita-cita,
Bersama angan-angan darah muda;

Pernah dulu hatiku disaluti bahagia,
Merasa manis hidup didunia;

Pernah dulu hatiku disirami air cinta,
Dek kerana persahabatan denganmu.

Namun kini bila ku sedar,
Semuanya ku rasa mustahil benar,

Aku terjaga dari lamunan tidurku,
Mimpiku musnah seketika perpisahan yang berlaku,

Atas nama bertemu dan berpisah kerana ketentuan Ilahi,
Aku dengan berat hati mengundur diri,

Layaknya aku bukan bersamamu,
Meskipun gembira hatiku,
Dengan keberadaanmu yang dekat denganku.

Sahabatku,

Masa tidak akan selamanya menunggu,
Ruang waktu semakin kecil dan sempit buatku,
Umur tidak akan selamanya bertambah,
Kerana suatu saat ia akan terhenti jua.

Sahabatku,

Risauku jika tiada peluang lagi buat bicara,
Tiada masa lagi buatku,
Menulis bait kata-kata indah buatmu;

Tapi percayalah,
Aku akan terus berusaha bertahan,
Sampai waktunya perasaan ini dapat ku lepaskan;

Seringkali persoalan memenuhi ruang fikiranku,
Adakah aku masih mempunyai waktu,
Untuk setia menunggumu?

Sahabatku,

Jika tulisan ini,
Adalah penutup hasil karanganku,
Maka inginku luahkan padamu,
Ingin ku khabarkan padamu,
Tentang angan-anganku,
Tentang mimpiku,
Dan tentang cita-citaku.

Sahabatku,

Ketahuilah,
Sejak kali pertama terjalin persahabatan antara kita,
Kau sudah ku sayang bagaikan saudara;

Dan bila waktu terus berlalu,
Sayangku bercambah menjadi cinta;

Tapi sayang sekali,
Kerana rasa cintaku ini,
Tidakkan pernah berbalas;

Dan ku sedar akan itu,
Dalam tidurku,
Dalam jagaku,
Ku sedar akan realiti hidup ini,
Cinta tak semestinya memiliki.

Sahabatku,

Mungkin begini pengakhiran cinta kita,
Disalut duka dan air mata,
Ditemani kesedihan yang tak nampak di mata,
Terlindunglah ia disebalik senyuman palsu dan gelak tawa;

Biar apa pun yang terjadi seketika nanti,
Percayalah pada kata hati,
Berpegang teguhlah pada pendirianmu,
Jangan lekas berputus asa,
Ingatlah sentiasa pada Dia.

Sahabatku,

Ku tiupkan bersama angin,
Perkhabaran rinduku,
Tatkala kau sepi tanpa berita;

Ku kirimkan bersama kicauan burung,
Perasaan cinta yang tak mampu diluahkan,
Bila mata bertentang mata;

Dan akhirnya ku kirimkan doaku buatmu,
Agar kau bahagia selalu,
Meskipun bukan bersamaku;

Biar doaku yang takkan putus menjadi sahabatmu,
Yang menemani dirimu dikala kau berduka,
Menyisih air matamu yang mengalir di muka,
Menjagaimu dikala susah lantaran ujian dunia,
Dan menjadi kekuatan dan penggalak di saat kau bahagia.

Sahabatku,

Disini aku bebas berkata,
Didepanmu aku terdiam seribu bahasa;

Banyak yang ingin ku luahkan,
Tapi semuanya bagaikan tertahan;

Bukan lain hanya kerana malu yang menjadi perhiasan,
Bukankah malu itu bagi wanita ibarat peneman?

Tapi sedarlah,
Jika tiada bicara yang diucapkan,
Tiada kata yang dilafazkan,
Bukan beerti cinta ini telah ku padamkan;

Sehingga ajal memisahkan kita,
Cintaku akan tetap setia,
Kerana cinta sejati tidak perlukan wang sebagai perhiasan,
Tidak perlukan adat sebagai jurang pemisahan,
Cinta sejati akan tetap subur di hati,
Terutama jika berlandaskan iman,
Akan lagi teguhlah kekuatan;

Biar rupa semakin buruk,
Harta bukan lagi peneman,
Biar orang pandang tiada mata,
Darjat dan pangkat ditarik dari kita,
Cinta kan tetap ada.

Sahabatku,

Telah ku luahkan isi hatiku ini,
Yang sudah lama terpendam dan dikunci,
Supaya jika masa tiada lagi,
Tiada sesalan lagi buat diriku ini;

Semoga sahaja waktu masih mengasihaniku,
Semoga sahaja ku masih mampu bertahan dengan ujian hidupku.

Sahabatku,

Permintaanku hanya satu,
Kenanglah diriku dalam doamu,
Doakanlah yang baik-baik buat diriku selalu,
Semoga dengan doamu,
Aku masih mampu untuk terus berjaga.

No comments:

Post a Comment